PENGERTIAN AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH[1]

PENGERTIAN AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH[1]

Sunnah dari segi bahasa arab bererti: jalan dan cara[2].  Manakala perkataan Jamaah dipetik dari bahasa arab iaitu Al-Ijtima’ bererti perkumpulan dan penyatuan  lawan kepada perkatan Al-Tafarruq iaitu perpecahan dan Al-Jamaah bererti satu kumpulan atau jemaah yang telah bersepakat pada sesuatu perkara[3].
Dari segi istilah pula Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah jumhur majority umat Nabi Muhammad iaitu sahabat Nabi dan sesiapa yang mengikut mereka dalam asas –asas aqidah (rukun iman)[4].

KITAB DAN BUKU AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH

Sangat ramai ulama yang menulis kitab-kitab khusus mengenai penjelasan aqidah Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah ini. Antara kita-kitab tersebut ialah seperti:
1-      Risalah al-^Aqidah al-Tahawiyyah karya al-Imam al-Salafi Abu Ja^far al-Tahawi (w. 321 H),
2-      Kitab al-^Aqidah al-Nasafiyyah karangan al-Imam ^Umar al-Nasafi (w. 537 H),
3-      Al-^Aqidah al-Murshidah karangan Ibnu Tumart dan kemudian dipopularkan oleh al-Imam Fakhrud-Din ibn ^Asakir (w. 630 H),
4-      Al-^Aqidah al-Salahiyyah yang ditulis oleh al-Imam Muhammad ibn HibatiLlah al-Makki (w. 599 H); beliau menamakannya Hada’iqul-Fusul wa-Jawahirul-^Uqul, kemudian menghadiahkan karyanya ini kepada al-Sultan Salahud-Din al-Ayyubi (w. 589 H).
Al-Sultan Salahud-Din sangat tertarik dengan kitab ini hingga beliau memerintahkan agar kitab ini diajarkan sampai kepada anak-anak kecil di madrasah-madrasah, yang akhirnya risalah aqidah tersebut dikenal dengan nama al-^Aqidah al-Salahiyyah. Al-Sultan Salahud-Din adalah seorang alim yang bermazhab Shafi^i, mempunyai perhatian khusus dalam menyebarkan al-^Aqidah al-Sunniyyah (aqidah Ahlus-Sunnah). Beliau memerintahkan para muazin untuk mengumandangkan al-^Aqidah a-Sunniyyah ini pada waktu tasbih (sebelum azan Subuh) pada setiap malam di Mesir, seluruh daratan Sham (SyiriaJordan, Palestin dan Lubnan), Mekah, Madinah, dan Yaman sebagaimana dikemukakan oleh al-Hafiz al-Suyuti (w. 911 H) dalam al-Wasa’il ila Musamaratil- Awa’il dan lainnya.
5-      Kitab Mukhtasar Al-Muhaddith Abdullah Al-Harari dalam bab Aqidah juga memuatkan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenar dengan ringkasan yang mudah bagi seluruh umum umat Islam yang dahagakan ilmu aqidah Islam juga dimuatkan beberapa perkara yang menyebabkan pembatalan iman dan islam seseorang itu.

“ TUNTUTAN BERPEGANG KEPADA AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMA’AH  ”

Dibawah ini merupakan ringkasan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebenar yang boleh dijadikan panduan utama bagi seluruh peringkat masyarakat Islam dan diminta kepada semua pencinta ilmu menghayatinya dan mengajarnya kepada umum setelah mendalaminya.  Ringkasan aqidah ini disusun berdasarkan dalil yang sahih (naqli dan aqli) dengan teks yang padat maknanya bagi memudahkan masyarakat Islam mendalaminya:

Wajib bagi semua mukalaf untuk memeluk agama Islam dan kekal di dalamnya untuk selamanya dan melaksanakan segala hukum-hakam yang diwajibkan ke atasnya. Maka di antara perkara yang wajib diketahui dan diyakini secara mutlak, dan wajib diucapkan sekali jika sekiranya dia baru memeluk Islam, atau jika tidak [dia bukan seorang yang baru memeluk Islam] maka wajib diucapkannya di dalam sembahyang, adalah dua kalimah syahadat:
أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله
Makna أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ الله : aku mengetahui dan aku mempercayai dan aku mengakui (dengan ucapan) bahawa tidak ada yang disembah dengan hak (sebenar) kecuali Allah, yang Esa iaitu tiada sekutu bagi-Nya "الواحد", Tidak Terbahagi-bahagi[5] "الأحد", Tidak Bermula "الأول", Tidak Mendahului Dengan Ketiadaan "القديم", Maha Hidup "الحيُّ", Tidak Berkehendak Kepada Yang Lain "القيوم", Tidak Berakhir "الدائم", Maha Pencipta "الخالق", Pemberi Rezeki "الرازق", Maha Mengetahui "العالم", Maha Kuasa "القدير", Berkuasa Melakukan Sesuatu Dengan Kehendak-Nya "الفعّال لما يريد". Segala apa yang Dia kehendaki terjadi dan segala apa yang tidak Dia kehendaki tidak akan terjadi "ما شاء الله كان وما لم يشأ لم يكن". Tidak ada daya upaya untuk menjauhi perbuatan dosa kecuali dengan pemeliharaan-Nya, dan tidak ada kekuatan untuk melakukan ketaatan kepada-Nya kecuali dengan pertolongan-Nya. Allah memiliki segala sifat kesempurnaan yang layak bagi-Nya dan Maha Suci dari segala kekurangan pada hak-Nya.
Allah tidak menyerupai sesuatu pun dari makhluk-Nya dan tidak ada sesuatu pun dari makhluk-Nya yang menyerupai-Nya, Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.[6] Hanya Allah yang tidak memiliki permulaan (Qadim) "قديم", segala sesuatu selain-Nya memiliki permulaan [baharu] "حادث". Dialah Pencipta "الخالق", segala sesuatu selain-Nya adalah ciptaan-Nya [makhluk] "مخلوق". Segala yang ada [masuk ke dalam wujud], benda[7] dan perbuatannya, mulai dari [benda terkecil] zarrah hingga [benda terbesar] Arasy, segala gerakan manusia dan diamnya, niat dan lintasan fikirannya, semuanya itu adalah dengan ciptaan Allah, tidak ada yang menciptanya selain Allah, bukan thabiiah "طبيعة" yang menciptanya dan bukan pula illah[8] "عِلة". Akan tetapi segala sesuatu tersebut masuk pada kewujudan dengan kehendak Allah dan kekuasaan-Nya, dengan ketentuan dan ilmu-Nya yang azali [tidak bermula], sebagaimana maksud firman Allah: “dan Allah menciptakan segala sesuatu” [Furqan:2]. Ertinya Allah menciptakan sesuatu daripada tidak ada menjadi ada. Makna (خلق) pada ayat ini tidak layak bagi sesiapa pun kecuali hanya bagi Allah. Allah berfirman: “Tidak ada pencipta selain Allah”. [Faatir:3]

An-Nasafi berkata: “apabila seseorang melempar kaca dengan batu hingga pecah, maka lemparan, hentaman batu dan pecahnya kaca semuanya adalah ciptaan Allah. Jadi seorang hamba hanyalah melakukan kasb[9] "كسب". Sesungguhnya penciptaan itu hanya milik Allah, Allah berfirman: “Bagi setiap jiwa dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya”. [al-Baqarah:286]
Kalam "كلام" Allah adalah Qadim "قديم" [tidak bermula][10] seperti seluruh sifat-sifat-Nya. Kerana Allah tidak menyerupai semua makhluk-Nya, baik pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan perbuatan-Nya. Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan orang-orang zalim [orang kafir] dengan kesucian yang agung.
            Kesimpulan dari makna syahadat pertama ini adalah ketetapan adanya tiga belas sifat bagi Allah, yang sering berulang penyebutannya dalam al-Quran, baik pada lafaz mahupun maknanya sahaja, iaitu :
1.            al-Wujud "الوجود" [Allah ada],
2.            al-Qidam "القدم" [tidak bermula],
3.            al-Baqa’ "البقاء" [tidak berakhir],
4.            Tanazzuhuhu 'an al-Musyabahah li al-haadis "تنزهه عن المشابهة للحادث" [maha suci dari menyerupai segala sesuatu yang baharu].
5.            Qiyamuhu bi nafsihi "قيامه بنفسه" [tidak memerlukan kepada yang lain dan segala sesuatu memerlukan kepada-Nya],
6.            al-Wahdaniyah "الوحدانية" [tidak ada sekutu bagi-Nya pada zat, sifat dan perbuatan-Nya],
7.            al-Qudrah "القدرة" [maha kuasa],
8.            al-Iradah "الإرادة" [berkehendak],
9.            al-Ilmu "العلم" [mengetahui segala sesuatu],
10.        al-Hayat "الحياة" [maha hidup],
11.        as-Sam'u "السمع" [mendengar segala sesuatu],
12.        al-Basor "البصر" [melihat segala sesuatu],
13.        al-Kalam "الكلام" [berkata-kata dengan kalam yang bukan huruf, suara dan bahasa][11],

Oleh kerana sifat-sifat ini banyak disebut dalam nas-nas syariah, para ulama mengatakan: Wajib atas setiap mukalaf [wajib aini] untuk mengetahuinya. Dan kerana zat Allah adalah azali [tidak bermula], maka demikian jugalah sifat-sifat-Nya pasti [wajib] azali, kerana jika baharunya sifat suatu zat mengharuskan baharunya zat tersebut. Terlalu banyak lagi sifat Allah yang dinyatakan oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah akan tetapi yang dinyatakan di atas merupakan yang wajib dipelajari dan diketahui oleh umat Islam.
           
Makna وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله  : aku mengetahui dan aku mempercayai dan aku mengakui (dengan ucapan) bahawa Muhammad ibn Abdullah ibn Abdul Muththalib ibn Hasyim ibn Abd Manaf al-Qurasyi [dari Khabilah Quraisy] adalah hamba Allah dan utusan-Nya kepada segenap makhluk. Diikuti dengan syahadat ini mempercayai bahawasanya Muhammad  lahir dan diutus [menjadi Nabi dan Rasul] di Mekah, berhijrah ke Madinah dan dimakamkan di sana.

Termasuk dalam makna syahadat kedua ini, meyakini bahawa Nabi Muhammad j jujur dalam segala berita yang dia bawa dan sampaikan dari Allah.
Di antaranya: adanya siksa kubur, pertanyaan dua malaikat, Munkar dan Nakir, al-Ba'ts "البعث"[dibangkitkannya semua orang mati], al-Hasyr "الحشر" [saat dikumpulkannya makhluk di suatu tempat], al-Qiyamah "القيامة" [hari kiamat], al-Hisab "الحساب" [perhitungan atas segala perbuatan], ats-Tsawab "الثواب" [balasan bagi seorang mukmin yang melakukan kebaikan], al-Azab "العذاب" [balasan bagi seseorang yang melakukan kejahatan], al-Mizan"الميزان" [timbangan yang memiliki dua neraca, satu untuk kebaikan dan lainnya untuk keburukan], an-Naar "النار" [neraka Jahannam], as-Sirat "الصراط"[jambatan terbentang di atas neraka, satu hujungnya pada bumi yang telah diganti “al Ardl al Mubaddalah” dan hujung lainnya di satu tempat menuju ke arah syurga], al-Haudh "الحوض" [telaga], as-Syafaah "الشفاعة" [Syafaat], al-Jannah "الجنة" [syurga], ar-Rukyah "الرؤية" [melihat zat Allah di akhirat kelak dengan mata kepala dengan tanpa disifatkan dengan sifat-sifat makhluk, tanpa bentuk, tanpa tempat dan tanpa arah, tidak seperti penglihatan makhluk], dan kekal syurga dan neraka. Juga beriman dengan malaikat Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, ketentuan “al-maqdur”-Nya yang baik dan buruk, dan bahawasanya Nabi Muhammad j adalah penutup para nabi dan penghulu seluruh manusia [keturunan Adam].

Wajib berkeyakinan juga bahawa setiap nabi Allah wajib memiliki sifat benar "الصدق", amanah "الأمانة" dan bijaksana "الفطانة". Mustahil bagi mereka bersifat bohong "الكذب", khianat "الخيانة", ar-Radzalah "الرذالة"[terjatuh dalam perbuatan hina], bodoh "السفاهة" dan dungu "البلادة".
Mereka wajib terpelihara dari kekufuran, dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil yang menunjukkan rendah jiwa pelakunya, baik sebelum mereka menjadi nabi mahupun sesudahnya. Mereka mungkin [jaiz] (جائز) sahaja melakukan dosa-dosa kecil yang tidak menunjukkan rendah jiwa pelakunya, namun mereka diingatkan terus untuk bertaubat sebelum dosa-dosa tersebut diikuti oleh orang lain.
Dari sini diketahui bahawa kenabian tidak sah [berlaku] bagi saudara-saudara nabi Yusuf yang telah melakukan perbuatan-perbuatan keji itu, mereka itu adalah selain Binyamin. Sedangkan al-Asbath (الأسباط) kisah mereka disebutkan dalam al-Quran yang mendapat wahyu [diangkat menjadi Nabi] dari Allah, mereka adalah dari keturunan saudara-saudara nabi Yusuf bukannya saudara-saudara nabi Yusuf tersebut.

MURTAD BATAL AQIDAH
Wajib atas setiap muslim memelihara Islamnya dan menjaganya dari perkara-perkara yang merosak dan memutuskan darinya, iaitu riddah [kufur, keluar dari Islam]. Imam An-Nawawi dan lainnya berkata: "Riddah adalah kekufuran yang paling keji"[12]. Riddah [kufur] ada tiga jenis sebagaimana pembahagian oleh an-Nawawi dan lainnya dari kalangan ulama mazhab Syafii, Hanafi dan mazhab lain dari mazhab Feqh yang beraliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah : 1- Kepercayaan, 2- Perbuatan dan 3- Ucapan. Setiap dari tiga jenis ini memiliki cabang yang sangat banyak. Maka umat Islam hendaklah menjauhi dari segala itu.

Comments